Kini mereka menunggu pula ibu susuan yang datang dari kawasan pergunungan untuk menyusui Muhammad s.a.w.. Bangsa Arab berpendapat bahawa udara kota Makkah tidak menyihatkan bagi bayi dan sudah menjadi adat wanita-wanita Arab untuk memberikan bayi-bayi mereka kepada ibu-ibu susuan yang tinggal di kawasan perkampungan yang mempunyai udara yang segar.
Beberapa suku yang tinggal di kawasan gurun terkenal sebagai ibu susuan, di antaranya ialah Bani Sa’ad. Sementara menunggu kedatangan mereka, Aminah memberikan bayinya kepada Thuwaibah, seorang hamba Abu Jahal, kerabat Muhammad s.a.w. untuk menyusukannya.
Thuwaibah hanya dapat menyusukan Muhammad s.a.w. selama beberapa hari. Apabila dewasa Nabi Muhammad s.a.w. sangat baik terhadapnya sepanjang hidupnya, dan ketika ia meninggal dunia, baginda bertanya tentang anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu darinya.
Ibu-ibu susuan itu pun datang, mereka semuanya dari Bani Sa’ad dan mereka hanya memilih bayi-bayi yang mempunyai bapa sahaja sedangkan bayi yang tidak berbapa pula ditinggalkan kerana mereka mengutamakan ganjaran yang akan diperolehi dari bapa bayi-bayi berkenaan.
Muhammad s.a.w. ditinggalkan tanpa seorang ibu susu, tetapi sebaik sahaja suku tersebut hendak berangkat pergi, Halimah Binti Abu Dhu’aib berkata kepada suaminya:
“Aku tidak suka kembali bersama para sahabatku tanpa seorang pun bayi. Aku akan mengambil anak yatim itu!”. “Ya! Lakukanlah”. Kata suaminya, “Barangkali Allah akan menjadikannya suatu barakah kepada kita”.
Pada mulanya, Halimah tidak diberikan seorang bayi pun untuk disusuinya kerana dia bukan dari kalangan keluarga berada seperli yang lain-lainnya. Namun, sejak dia mengambil Muhammad s.a.w. dia memberitahu bahawa semuanya bertambah baik. Kambingnya bertambah dan mengeluarkan susu yang banyak, ayam-ayamnya pula semakin gemuk dan banyak.
Orang-orang kampungmya selalu mengingatkan gembala kambing mereka kerana iri hati terhadap Halimah:
“Lihatlah di mana kambing Halimah memakan rumput dan biar kambing kita makan rumput di padang yang sama”.
sumber: Buku Kisah Para Nabi (IBNU KATHIR)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan